Monday, 12 November 2012


~CONTOH UCAPAN WAKIL MURID UNTUK MAJLIS PERSARAAN~



Assalammualaikum wbkth dan Salam Sejahtera.

Yang berusaha Tuan Pegawai PPD, Encik ________________________________________, Guru Besar SKPA yang diraikan, Encik Abdul Habib b Alapitchay,  YDP PIBG Encik Mohd  Zahid b Abdul Latif, Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru serta rakan-rakan yang dihormati sekelian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak majlis kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili murid-murid SKPA.

Untuk itu, izinkan saya untuk melafazkan beberapa rangkap pantun :

Terbang serindit ke pohon meranti,
Hinggap sebentar membuat sarang,
Majlis indah lagi diberkati,
Bagi meraikan Cikgu Habib tersayang.

Tiada kata seindah bicara,
Dapat dilafazkan seiring jasa,
Tiba ketika Cikgu Habib bersara,
Bakti dicurah di ingatan sentiasa.

Bibir merah tergigit lada,
Lada dicampur bersama laksa,
Walau di mana Cikgu Habib berada,
Ingatlah kami anak didik tercinta.

Berkilau-kilau cincin permata,
Begitu indah cantiknya rupa,
Biarpun kelak jauh di mata,
Namun di hati tidak kan lupa,

Petang hari menuju ke pekan,
Ingin membeli popia dan samosa,
Doa ikhlas kami hulurkan,
Semoga Cikgu Habib sihat sentiasa.

Salam kemaafan kami hulurkan,
Semoga kemesraan terus berpanjangan,
Ilmu diberi harap dihalalkan,
Semoga perjuangan kami mendapat keberkatan.

Bagi mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Encik Abdul Habib b Alapitchay kerana telah banyak menabur bakti dan mencurahkan ilmu yang berguna untuk kami semua di SKPA. Segala jasa baik dan tunjuk ajar Cikgu Habib tidak dapat kami balas hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas segala-gala-Nya. Terima kasih juga kepada Cikgu Habib kerana tidak pernah jemu mendidik kami ke arah pembentukan sahsiah yang baik serta kecemerlangan akademik yang berterusan.

Akhirnya, saya bagi mewakili rakan-rakan saya yang lain ingin memohon ampun dan maaf seandainya ada tingkah laku dan perbuatan kami yang menyinggung hati dan perasaan Cikgu Habib samada disedari mahupun tidak disedari. Halalkan segala ilmu yang telah Cikgu Habib berikan kepada kami selama ini. Terima kasih di atas segala-galanya. Terima kasih cikgu.



Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment